SAHABAT SETIA

Memaparkan catatan dengan label islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label islam. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Jun 2010

BAGAIMANA CINTA CARA ISLAM???

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti ini jika manusia akan diperintahkan untuk memebunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.Rasulullah pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin cinta-menyintai ini.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah kali itu agak menarik ; Jodoh.

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan yang cara masyarakat sekarang telah lari daripada syariat yang sepatutnya. “Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan yang empunya diri dan terus menyatakan niat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.


Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah Haram perempuan itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Ada pula yang berkata, “Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak bermaruah’ dan macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari. Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimana Islam mengajarkan wanita yang berkeinginan bernikah, menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad SAW dan Khadijah dimulakan dengan Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad, beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Nabi Muhammad. Oleh itu Khadijah menyuarakan keinginannya melalui perantaraan Nafisah binti Manbah agar merisik Nabi Muhammad untuk dirinya. Tawaran itu disambut aik oleh Muhammad dan dengan tidak membuang masa, baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka pun terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya, ‘Amru bin Asad. Perkahwinanpun dilaksanakan dengan selamatnya.* Begitulah yang diajarkan dalam sirah. Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk menjalankan sunnah baginda Rasulullah SAW? Cuma caranya biarlah sesuai dengan masyarakat kita. Jika kita seseorang perempuan itu sudah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan sahaja kepada ibu bapa, agar dapat menghubungi pihak keluarga si lelaki itu. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

(*Fiqih Sirah, Jilid 1. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti. Bab Perniagaan Dengan Harta Siti Khadijah Dan Perkahwinan Baginda)

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh manusia serta diredhai oleh Allah. Inilah percintaan dalam Islam, iaitu selepas perkahwinan. Insya-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan kita itu.

Untuk kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita. Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir dan batin, maka bernikahlah. Tiada salahnya bernikah ketika belajar. Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber’couple’, dan memuaskan nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan yang telah diterangkan di atas. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM .

Jumaat, 16 Januari 2009

JODOH............

Jodoh..
satu agenda yang besar dalam kitaran hidup manusia. Jodoh juga adalah agenda pelengkap untuk kesejahteraan dan tuntutan fitrah manusia normal yang dicipta oleh Allah. Indahnya Islam yang mensyariatkan perkahwinan yakni ikatan dan persetujuan antara dua makhluk, iaitu wanita dan lelaki secara sah di sisi syarak dan undang-undang yang memang secara azalinya saling memerlukan. Tatkala terciptanya Adam arakian juga diciptakan Allah akan Hawa.
Persoalannya apakah cara yang terbaik untuk mendapatkan jodoh? Banyak kita dengar dan belajar dari persekitaran kita dengan mendengar cerita dari ibu bapa,pakcik makcik,adik beradik,sahabat handai tentang kisah pertemuan sebelum menjejakkan kaki ke alam perkahwinan, begitu juga kisah agung dongeng-dongeng dan titipan sejarah cinta yang telah dibukukan malah difilemkan yang menjadi garis panduan malah impian kepada manusia dewasa ini.
Tidak kurang juga dengan kisah-kisah sedih dan pilu yang menjadikan perkahwinan satu institusi yang sangat ditakuti oleh sebilangan lelaki dan wanita Melayu beragama Islam di negara kita ini. Setelah membuat banyak kajian secara peribadi dan juga membaca rujukan carta statistik yang dikeluarkan oleh pihak berwajib, saya mendapati beberapa cara telah wujud bagi masyarakat Melayu Islam negara ini berjumpa dengan jodoh mereka.
Saya juga mendapati penduduk Malaysia hari lebih suka mencari pasangan sendiri yang kononnya akan menjamin kebahagiaan berkekalan kerana sudah saling mengenali antara satu sama lain. Ini memang terbukti kerana asas bagi sesebuah perkahwinan adalah persetujuan antara dua pihak. Jadi ini memudahkan urusan pembinaan mahligai syahdu pasangan dan saya secara peribadinya sangat menghormati dan kagum terhadap pasangan sebegini.
Dengan jangka masa pengenalan yang agak matang itulah mendewasakan mereka malah mampu memahami pasangan sebaik mungkin. Tetapi setiap yang pro pasti ada kontranya, itulah adat dunia yang tidak mampu disangkal oleh cerdik pandai dari tempat dan masa mana sekalipun. Kalau pasangan pilihan hati sendiri begitu enak melayari bahtera rumah tangga begitu juga mudahnya pasangan yang terlalu memahami pasangan masing-masing terjebak dalam permasaalahan rumah tangga, yang akhirnya terbukti dengan hanya perceraian.
Tidak saya mahu huraikan disini apakah faktornya kerana bukan tujuan coretan tinta ini. Lain pula perbedaan yang berlaku apabila pasangan bersatu kerana dijodohkan, tapi cara ini dianggap kolot dan tidak praktikal kerana pemikiran masyarakat sekarang mementingkan kebebasan berfikir dan bersuara. Jadi cara ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini, kerap kali kita dengar banyaknya kesan negatif akibat penjodohan sebegitu.
Tapi lain pula jika saya berbual dan bertanya dengan pakcik-pakcik atau makcik-makcik lewat setengah abad yang majoritinya berkahwin setelah dijodohkan tetapi ternyata bahagia sehingga akhir hayat mereka. Maka saya sedar bahawa selayaknya kita harus berfikir apakah cara yang paling terbaik untuk diri kita mendapat jodoh hayat.
Sedarkah kita bahawa Allah ta’ala sudah berfirman bahawa ketika mana kita berusia 6 bulan di dalam rahim ibu kita sudah ditetapkan kepada kita 3 perkara yakni persoalan ajal maut,rezeki dan akhir sekali jodoh, maka selayaknya persoalan ini kita sandarkan pada Islam yang sentiasa menjadi pemudah dan pedoman hidup mukmin sejati. Disambung lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang menggariskan 4 perkara utama yang perlu pada pemilihan pasangan hidup iaitu rupanya,hartanya,keturunanya dan agamanya.
Maka selayaknya menjadi pilihan utama adalah pasangan yang mencintai agama kerana seseorang mukmin secara langsung akan terserlah sifat soleh dan solehahnya. Dengan itu secara langsung sifat kewanitaanya, kekayaanya, kebijaksanaanya jua akan terserlah sama. Pada setengah perkara ternyata tidak layak otak kita yang sejengkal ini mahu membuat perkiraan tepat mengenai apatah lagi persoalan qada dan qadar Allah. Kerana semestinya setiap ketetapan Allah adalah yang terbaik, cuma cara penerimaan kita terhadap nikmat dan ujianNya menunjukkan kita menerima semua ketapan itu sebagai baik atau tidak. Pada golongan yang bakal berhadapan dengan situasi ini mahupun yang telah lewat, “jangan takut dan jangan sedih, sesungguhnya Allah bersama kita” dan lagi Allah berfirman “berdoalah kepaku nescaya akan kumakbulkan.”
Jadi apakah alasan kita hanya mengeluh dan hanya menyalahkan takdir dalam pencarian jodoh. Berdoalah dengan konsisten dan ikhlas, dengan asbab (sebab) pasangan tersebut dijodohkan oleh emak bapa, pertemuan dari kawan-kawan, rakan sekuliah malah mungkin melalui jaringan maya (internet). Walaubagaimana cara sekalipun percaya dan yakinlah, pastinya ketapan Allah adalah yang terbaik. Penulis yakin cara yang paling baik dan berkat ialah berdoa kehadrat Ilahi dengan konsisten dan setulus hati agar dikurniakan pasangan yang akan membahagiakan kita dunia dan akhirat,dengan itu serahkanlah 100% keyakinan pada qada dan qadar Allah Ta’ala.
Janganlah terlalu terikut-ikut dengan persekitaran umum sekarang yang banyak terpengaruh dengan cara dan etika bangsa barat yang hanya mementingkan kepuasan dan keselesaan nafsu yang tiada noktah. Tetapi tidak secara totalnya cara tersebut dijadikan sandaran, macam mana caranya sekalipun, tetapkan hati dan tanamlah dengan bisikan amalmu yang ikhlas kerana Allah, paksalah hatimu untuk belajar menjadi ikhlas hati dan budi. Semestinya kita sebagai orang Islam wajib percaya dengan syurga. Sedarkah kita segala kesempurnaan nikmat hanya boleh dirasai di sana?
Berapa ramai para sahabat di zaman Rasulullah hidup penuh dengan keaiban, kehinaan dan penderitaan tetapi sekarang terbayangkah kita di mana mereka? Sebahagian besar daripada mereka sekarang berada di sisi Zat yang agung malah dengan kenikmatan yang tidak akan mati, Allahu rabbul jalil. Begitu juga dengan hal jodoh yang menjadi topik kita kali ini.
Kesempurnaan yang hakiki hanya di syurga, berapa banyak Kalam Allah yang menggambarkan janji nikmat olehNya pada manusia yang soleh dan solehah. Jadilah mukmin yang baik nescaya tiada sesal pada kita akhirnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TINGGALKAN JEJAK LANGKAH ANDA DISINIE... SEMOGA SAYA BOLEH MEMBALAS KUNJUNGAN!!!

TOLONG ISI FORM INI SEBAGAI TANDA ANDA MELAWAT BLOG INI

Name:
Email Address:
Blog Address
Pendapat anda tentang Blog ini dan saranan/taujihad/nasihat anda kepada admin rasmi blog ini...
Harapan anda terhadap Blog ini

Click here to create your own form.

,


I made this widget at MyFlashFetish.com.