SEJAK akhir-akhir ini, kejadian rogol di kalangan ahli keluarga sendiri atau lebih dikenali sebagai sumbang mahram semakin membarah dalam masyarakat Melayu.
Perlakuan sumbang itu berlaku dalam masyarakat Melayu yang sekian lama begitu gah dengan nilai ketimurannya.
Keadaan yang cukup menggerunkan ini meninggalkan titik hitam dalam diari kehidupan manusia. Ini sekali gus menyentap nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan
yang juga tonggak utama kepada keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara berdaulat.
Berdasarkan kepada kes yang dirujuk ke Pusat Khidmat Sepadu Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), sebanyak lapan kes sumbang mahram
dilaporkan pada 2000.
Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada 22 kes pada tahun 2001. Ini bermakna kes sumbang mahram yang dilaporkan di HKL saja, meningkat 100 peratus
berbanding tahun sebelumnya. Ini jelas menunjukkan betapa isu sumbang mahram adalah gejala sosial yang semakin membimbangkan. Perbuatan terlarang itu perlu
diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak dalam menangani kes itu.
Perlu ditegaskan bahawa perbuatan sumbang mahram membawa pelbagai kesan negatif dan akibat buruk kepada semua pihak, terutama kepada mangsa. Mereka
pasti akan menderita tekanan psikologi dan mengharungi masa depan yang tidak ketentuan.
Ini ditambah lagi, perbuatan sumbang mahram ini buka saja berdosa dari segi agama Islam, malahan bertentangan dengan logik akal, nilai kemanusiaan dan
undang-undang.
Tetapi, persoalannya apakah punca sebenar merebaknya perbuatan itu dalam masyarakat Islam hari ini?
Menghadapi persoalan yang semakin meruncing ini, Islam yang diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya Rasulullah saw membawa panji Islam untuk menjamin
kesejahteraan hidup umat manusia di dunia dan akhirat. Islam datang bersama dengan agenda utamanya untuk memelihara agama, nyawa, harta, keturunan, akal dan
maruah kehormatan. Ini agar manusia sejagat dapat menikmati kehidupan ini dengan aman damai dan bahagia.
Justeru, tiada sebarang masalah yang berlaku dalam kehidupan manusia. Islam ada menyediakan jawapan atau jalan penyelesaiannya bagi mengatasi dan selanjutnya menghapuskan masalah itu dari akar umbinya.
Di sinilah letaknya keunikan Islam yang tidak ada pada agama lain.
Islam adalah addin yang menjalin erat hubungan di antara seseorang Muslim dengan Allah sebagai Penciptanya dan Tuhan sekalian alam ini.
Dalam erti kata lain, iman yang terpahat kukuh dalam sanubarinya mengajar seseorang Muslim betapa Allah Maha Melihat dan Mengawasi setiap gerak geri dan
perilakunya.
Dengan iman yang berbuahkan takwa inilah yang menjadi perisai bagi seseorang Muslim daripada terjebak ke lembah larangan Allah sama ada dosa kecil, mahupun
dosa besar.
Justeru, seseorang Muslim yang tebal imannya dan mantap takwanya, tidak akan berani melanggar batasan Ilahi kerana takutkan Allah dan balasan-Nya yang tiada
terperi.
Sebaliknya, jika imannya tipis dan mudah goyah dengan pujukan hawa nafsu dan pesona syaitan, maka dia begitu mudah terjerumus dalam perangkap dosa yang
terhampar sepanjang perjalanan hidupnya.
Dalam hal ini, Baginda pernah bersabda maksudnya: “Seorang penzina tidak akan berzina, sedangkan dia dalam keadaan mukmin, seseorang itu tidak akan meminum
arak sedangkan dia dalam keadaan mukmin dan seorang pencuri juga tidak akan mencuri sedangkan dia dalam keadaan mukmin.” – (Riwayat Bukhari)
Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa kesempurnaan iman akan tercabut dari lubuk hati apabila seseorang Muslim tergamak melakukan larangan Allah.
Tambahan pula, iman dan maksiat adalah dua perkara yang sentiasa berlawanan dan tidak mungkin boleh serasi dalam jiwa manusia.
Iman itu adalah sinaran cahaya yang datang daripada Allah yang menerangi jalan hidup. Maksiat pula adalah noda hitam yang hanya menyebabkan kesengsaraan
hidup di dunia dan akhirat.
Maka, sumbang mahram ini berlaku kerana kecetekan iman yang mengisi jiwa sanubari seseorang manusia sehingga dia tidak takut lagi untuk melakukan larangan
Allah.
Seterusnya, Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran bagi mengatur kehidupan manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi. Salah satu ajaran Islam
yang dituntut kepada setiap Muslim ialah memelihara pandangan mata daripada segala larangan Allah.
Ini sejajar dengan perintah Allah dalam lewat firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad saw) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka
menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya
Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan.
“Dan katakanlah kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya ; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka...” – (Surah an-Nur, ayat 30-31)
Mafhum ayat suci memerintahkan setiap Muslim sama ada lelaki atau wanita agar memelihara atau menundukkan pandangan masing-masing daripada melihat perkara
haram seperti melihat aurat orang lain. Inilah yang dipanggil sebagai iffah iaitu memelihara diri daripada melakukan sesuatu yang terlarang.
Nafsu seseorang manusia biasanya akan bangkit apabila matanya memandang aurat wanita yang terdedah. Malah, nafsu juga boleh menyebabkan seseorang manusia
itu buta mata dan hatinya serta lupa diri sehingga tergamak melakukan sumbang mahram.
Oleh sebab itu, pandangan mata terhadap sesuatu yang haram adalah di antara perangkap yang dipasang oleh syaitan untuk menyesatkan umat manusia. Ini
sebagaimana yang difahami melalui hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesungguhnya pandangan mata itu adalah salah satu panahan yang amat berbahaya.
Sesiapa yang menundukkan pandangan matanya kerana takutkan Allah, nescaya Allah akan mengisi hatinya kemanisan iman.” – (Riwayat Tabrani)
Dengan menundukkan pandangan mata, nafsu seseorang Muslim akan terkawal rapi dalam suluhan iman yang hanya akan memimpinnya ke arah jalan yang diredai
Allah.
Oleh itu, jiwa manusia seharusnya disemai dan dibajai dengan amalan zikrullah, berdoa, membaca al-Quran, nasihat menasihat ke arah kebenaran, peringatan akan
seksa Allah yang amat pedih dan amalan lain yang boleh menyuburkan iman dan mendekatkan diri seseorang ke hadrat Allah.
Di sini letaknya, kepentingan amalan tazkiyah nafs yang membawa maksud membersih dan menyucikan jiwa sanubari daripada sebarang penyakit hati yang keji
seperti lupa diri, ujub dan sombong.
Selain itu, Allah mewajibkan wanita supaya menutup seluruh tubuh badannya kecuali mukanya dan dua tapak tangannya.
Perlu diinsafi bahawa wanita adalah antara ujian dan fitnah yang mewarnai pentas hidup berupaya mengubah wajah dunia. Wanita yang berpegang teguh dengan
ajaran Islam berupaya menjadi ejen perubahan positif terhadap dirinya, keluarganya, masyarakat dan persekitaran sekelilingnya.
Sebaliknya, wanita yang bertopengkan nafsu dan kuasa menyaksikan beberapa kejatuhan dan kemusnahan beberapa empayar dan kuasa besar dunia satu ketika
dulu.
Oleh itu, setiap wanita dituntut menutup aurat kerana pendedahan aurat itulah antara punca yang membawa kepada maksiat yang terlarang seperti zina, rogol dan
sumbang mahram.
Di samping itu, akta atau undang-undang jenayah sedia ada yang terlalu longgar juga adalah antara penyebab kepada kes sumbang mahram yang semakin bertambah
dari sehari ke sehari.
Oleh itu, pihak berkuasa sewajarnya bertegas dalam menguatkuasakan hukuman dan undang-undang sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.
Hukuman yang lebih berat amat wajar dikenakan kepada pelaku sumbang mahram agar menjadi pengajaran kepada orang lain supaya menjauhi perbuatan itu.
Perlakuan itu bukan saja sangat dikutuk oleh Islam, bahkan bertentangan dengan nilai masyarakat yang murni.
Begitulah antara pendekatan yang diambil oleh Islam dalam menangani gejala sosial secara umum dan gejala sumbang mahram secara khusus.
Pendek kata, kemantapan iman seseorang Muslim, beriltizam dan berpegang teguh dengan segala ajaran Islam serta penguatkuasaan undang-undang Islam adalah antara jalan penyelesaian ampuh yang disediakan Islam bagi membendung gejala sumbang mahram ini.
Hanya Islam panduan hidup sebenar yang sepatutnya diangkat sebagai teras utama yang mendasari setiap ruang lingkup kehidupan manusia. Hanya Islam yang
mampu membimbing umat manusia ke arah kesejahteraan hidup dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan