Setiap kali pemilihan parti di dalam PAS, ianya berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah. Ahli-ahli PAS telah ditarbiah bahawa kedudukan dan pangkat bukanlah matlamat kita berjuang. Apa yang penting kita sama-sama bergabung tenaga mendaulatkan perjuangan Islam. Sebab itu kita diajar walau apa sahaja posisi dan kedudukan kita di dalam parti tiada apa-apa keistimewaan di sisi Allah. Apa yang penting dan dikira oleh Allah ialah ketaqwaan dan keikhlasan.
Sebab itu seorang Presiden parti belum tentu lebih mulia dari seorang penampal poster di sisi Allah. Tarbiah ini yang ditekankan oleh PAS sehingga kita terus kukuh dan istiqamah menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan lebih dari 50 tahun tanpa banyak masalah. Parti-parti lain seperti Semangat 46, Parti NASMA, Usno, Parti Negara, PEKEMAS, SDP dan sebagainya sudah lama berkubur kerana ideologi yang tidak meletakkan Islam sebagai panduan dan matlamat mereka.
Sepanjang pembabitan saya lebih dari 30 tahun di dalam PAS sejak dari bangku sekolah rendah lagi saya dapat melihat betapa ikhlas pejuang-pejuang parti mempertahankan aqidah perjuangan walaupun mehnah dan tribulasi membadai mereka. Ada Pak Cik dan Mak Cik dikampung yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang, namun masih berupaya menginfakkan tenaga, kudrat, masa dan sedikit wang ringgit untuk kelangsungan perjuangan Islam ini. Semua ini tidak lain dan tidak bukan kerana mereka yakin apa sahaja sumbangan yang diberikan untuk Islam akan dibalas oleh Allah di hari yang tidak ada gunanya lagi harta dan anak pinak kecuali kita bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.
Pengalaman saya bersama perjuangan Islam walaupun sedikit tetapi banyak mengajar saya erti semua perjuangan yang memerlukan pengorbanan. Setiap kali pemilihan kita tidak nampak perebutan jawatan yang ketara seperti dalam parti lain. Saya sendiri yang diberikan amanah memimpin PAS Kawasan Bukit Katil setelah diamanahkan sahabat-sahabat kerana masing-masing menolak. Insya Allah bila sampai masanya saya juga akan berundur kerana sudah ada sahabat yang saya lihat mampu meneruskan panji-panji Islam di kawasan saya ini.
Kita diajar supaya tidak meminta jawatan dan menawarkan diri untuk memegang apa-apa jawatan. Tetapi jika kita diberikan amanah kita mesti memikulnya kerana maslahat jemaah dan kepentingan Islam bukan kepentingan diri.
Malangnya ada orang berjuang kerana pangkat dan kedudukan. Bila dilihat ada peluang untuk menang pilihanraya dan menjadi kerajaan maka ramailah berlumba-lumba untuk bertanding jawatan dalam parti. Apakah ini yang dinamakan ikhlas. Di saat kita berada dalam kesusahan semua orang menjauhkan diri dari parti dan tidak mahu masuk campur. Tetapi bila diwar-warkan kita akan ke Putrajaya maka berduyun-duyun menawarkan diri untuk bertanding. Mereka mula memasang kaki dan campaign manager menjelajah ke seluruh negara. Perangai Umno mereka warisi!. Ada yang mencanangkan bahawa cara pemilihan yang melibatkan semua ahli adalah terbaik dan pertama kali diamalkan oleh parti politik di Malaysia. Tetapi apa guna jika caranya baik tetapi orangnya hampeh dan mendukacitakan. Mewarisi perangai Umno!
Lebih baik masuk Umno kalau perangai buruk Umno masih menjalar dalam batang tubuh individu sebegini.
Alhamdulillah perangai ini tiada dalam PAS. Kita yakin dan percaya ahli-ahli dan pimpinan PAS akan terus istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan kerana matlamat kita ialah untuk mendapat keredhaan Allah bukan kemuliaan manusia. Tahun depan PAS sekali lagi akan menjalankan pemilihan. Walaupun mungkin pilihanraya sudah hampir tetapi PAS akan tetap meneruskan perlembagaan parti kerana PAS tahu pemilihan dalam parti tidak akan mengucar kacirkan PAS tidak seperti Umno dan parti-parti lain. Matlamat kita hanyalah kepada Allah. Jawatan dan kedudukan tidak penting.
Maka kita mengharapkan semangat dan tauladan yang ada dalam PAS akan kekal dan dicontohi oleh sesiapa sahaja yang mahu berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran. Jangan kita hanya bercakap di mulut tetapi tidak menzahirkannya melalui tindakan dan amalan seharian kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan