BARU TERJAGA ATAU SENGAJA BUAT LUPA?
ISU bahasa sudah dibicarakan sejak lama dahulu. Dari soal tetek-bengek ejaan dan nahu sampailah ke peringkat yang lebih mudah menggegar perasaan bila kedudukan serta keistimewaannya, sebagaimana tercatat dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, digeser dan dipermainkan.
Tahun 1965, kerana berasa marah dan terhina bila kedudukan bahasanya yang telah jelas dimaktubkan diperkotak-katikkan pihak berwajib, sejumlah aktivis, pencinta dan pejuang bahasa, telah mengusung sebuah keranda yang dinamai Keranda I52 ke bangunan parlemen sebagai tanda protes.
Tahun demi tahun, isu bahasa tidak pernah lepas dari perhatian penggiat bahasa, ahli bahasa dan penulis yang cintakan bahasanya.
Bahasa pengantar bagi sebuah negara yang telah merdeka bukan sekadar pemertabatan secara sepihak dan memperlindungkan rasis di sebalik nama perpaduan.
Satu bahasa sebagai bahasa pengantar bagi sebuah negara adalah alat penghubung sesama kaum dalam sebuah negara, yang tujuannya tidak lain untuk mempereratkan perpaduan atas nama negara bangsa.
Jadi kenapa hari ini masih ada yang berasa perlu bertempik dan melaung mengenai sesuatu yang memang pun sudah dimaktub dan dipersetujui sejak lama.
Apakah ini secara tidak langsung menggambarkan sikap suka mengampu yang membuta tuli, yang mengulang-ulang bagaikan embekan seekor kambing, semata-mata kerana isu lama mengenai bahasa yang memang pun sudah sedia termaktub di dalam perlembagaan, kembali diperhangatkan oleh siapa yang berdiri gagah di atas pentas?
Hari ini, dalam suatu perhimpunan partai politik terbesar negara, kembali ia disebut dan diulang-ulang.
Apakah baru terjaga mereka, atau sengaja buat lupa?
Tahun 1982, tepatnya, Sabtu 25 September 1982, di tabloidMingguan Bumi, saya pernah menulis mengenainya. Dan tentu sahaja, sebelum saya, tentulah ramai sudah tokoh dan pencinta bahasa yang menulis mengenainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan