Melalui hari demi hari, bulan menjangkau bulan, tahun berganti tahun mendedahkan kita kepada aneka ragam keluarga, kawan dan sekitaran. Kepelbagaian tingkah dan tindakan manusia itu kadang-kadang memberikan kita bermacam cetusan fikiran. Mengapa si dia berkelakuan begini? Apakah relevannya dia berada di situ? Apa tujuannya? Menghadapi persoalan sebegini memang tidak dapat dielakkan daripada kehidupan kita seharian. Kita menghadapi pelbagai ragam manusia di aneka tempat termasuklah orang yang hampir dengan kita, keluarga atau jiran.
Namun, diciptakan manusia ini lemah dengan pelbagai kekurangan agar kita saling menginsafi dan mengambil pengajaran. Ada segelintir manusia yang suka meletakkan pandangan mereka kepada kemusykilan tentang seseorang dengan prasangka buruk. Pantang ada hal atau persoalan yang tidak terjawab, terus ditimbulkan pelbagai sangka buruk lagi busuk untuk mengaibkan seseorang tanpa usul periksa. Bahkan lagi teruk apabila dibawanya cerita tidak bersanad dan hanya sekadar bisikan syaitan itu untuk disebarkan selaju capaian streamyx di rumahnya. Si penerima cerita ini pula hanya menerima dan menyebarkan juga cerita tersebut tanpa mengambil satu lagi langkah yang teramat penting iaitu menyelidiki terlebih dahulu. Hal ini bukanlah perkara remeh bahkan diserukan dalam al-Quran, iaitu Allah mengingatkan kita:
?Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini ? Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) ? sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.?[al-Hujuraat 49:6].
Perkara ini berlaku tanpa disedari. Pantang ada SMS gosip atau cerita sensasi, terus diforwardnya seramai mungkin. Pantang ada surat berantai yang entah dari mana datangnya, salinan sebanyak mungkin atas nama berbuat kebaikan dan memberikan peringatan.
Begitu juga dengan sangkaan, pantang ada bunyi bising dari rumah jiran terus dikatakan jiran itu bergaduh besar, nak bercerai dan sebagainya. Pantang melihat orang yang tidak dikenali, cop pencuri terus melekat tanpa usul periksa. Bahkan lagi hebat apabila hanya disebabkan seorang kawan jatuh sakit, angkara bala atas dosa katanya. Aduh! Ringan sungguh mulut kita melafazkan kata-kata berbisa sedangkan kata-kata sebegitu jelas berdosa.
Allah berpesan kepada kita:
?Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani? [al-Hujuraat 49:12].
Mengapakah disebutkan sangkaan itu daripada dosa? Tidak lain tidak bukan kerana kita telah melabelkan seseorang hanya dengan sangkaan semata-mata tanpa asas, itulah dosa. Islam mengajarkan kita supaya menjauhi sangkaan buruk kerana sangkaan buruk itu membahayakan dan untuk bersangka buruk manusia manusia begitu ringan dalam melafazkan kata-kata. Tidak terbukti sangkaan buruk yang pertama, direka dan dicetus pula sangkaan yang kedua, ketiga dan seterusnya sehingga memuaskan hatinya. Bahaya! Kerana sangkaan buruk itu tidak memuaskan hati. Oleh sebab itulah Islam dari awal lagi menasihati kita semua agar jauh dari segala prasangka kerana ia merupakan pencetus kepada dosa.
Sangkaan baik pula sebaliknya, menenangkan hati dan mendamaikan jiwa. Menutup segala prasangka bererti kita menimbus ruang-ruang dosa yang boleh terbuka dek kerana pancaindera yang sentiasa berbisa mencari mangsa tanpa mempedulikan dosa yang tidak dirasa, namun berbahaya kepada pelakunya di dunia apatah lagi di sana. Lebih baik tersalah dalam bersangka baik daripada betul dalam bersangka buruk!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan